Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Serangan bom bunuh diri pada malam Jumaat lalu di Husainiyah Ibnu Razawi, wailayah Rawalpindi mengakibatkan sekurang-kurangnya 8 pengikut mazhab Syiah terbunuh manakala 16 yang lain cedera.
Insiden di pintu masuk Husainiyah Ibnu Razawi ini terjadi ketika majlis sambutan ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad (s.a.w) dan Imam Ja'far al-Sadiq (a.s) baru bermula.
Seorang individu dikatakan meletupkan bom yang diikat pada pinggangnya ketika menyedari pihak polis telah mencurigai gerak gerinya di pintu masuk husainiyah tersebut.
Laporan menyatakan sekurang-kurangnya 3 anggota polis terbunuh dalam kejadian ini manakala kompleks husainyah termasuk bangunan sekitarnya mengalami kerosakan teruk.
Pegawai tempatan, Sajjad Zafar Dal mengesahkan 8 orang terbunuh manakala 16 yang lain cedera. Menurut beliau sekitar 100 hingga 150 orang hadir dalam kompleks tersebut.
Husainiyah Ibnu Razawi Rawalpindi terletak di dalam lorong yang sempit dan tidak dapat dilalui kenderaan pasukan penyelamat. Mereka yang cedera dalam kejadian ini terpaksa dipindahkan dengan pedati.
Hingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggung jawab dalam insiden ini namun sebahagian pihak percaya insiden ini merupakan salah satu siri serangan-serangan bom yang didalangi pengganas al-Qaeda
Rentetan dari peristiwa ini, berbagai pihak termasuk tokoh-tokoh politik dan agama Pakistan mengecam tindakan kejam pengganas tersebut.
Syura Ulama Syiah mengistiharkan hari berkabung selama tiga hari sejak Jumaat lalu.














